Dari meja penulis.

Assamu`alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah swt, Tuhan Pencipta sekalian alam. Tiada Tuhan yang selayaknya yang wajib disembah melainkan hanya Allah swt. Selawat dan salamku sampaikan kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w, kepada keluarga baginda, sahabat-sahabatnya dan orang yang mengikut ajarannya sampai ke akhirat.

Dengan KebesaranMU ya Allah, dengan KeagonganMU, dengan keizinanMU, dengan kebenaran Al-Quran, dengan Berkat dan  Mukjizat serta kemuliaan RasulMu ya Allah, dan dengan keberkatan Sultan Aulia Syeikh Muhiyyiddin Abdul Qadir Al-Jailaini serta berkat para aulia`, para anbia dan melalui tarbiah guru-guruku, selesai sudah sebuah buku yang aku beri tajuk "Poligami Anugerah Tuhan". Harapanku semoga buku kecil yang tidak seberapa ini menjadi salah satu bahan bacaan berguna bagi sekalian pembaca untuk menambahkan ilmu pengetahuan atau untuk membuat kajian dan mengulas dengan lebih lanjut tulisanku ini. Semuga ditakdirkanNya ada di antara pembaca yang bersedia menulis perkara yang aku huraikan dalam buku ini dengan memberi pendekatan lain atau ulasan penentangan yang positif dari sudut yang berlainan yang mungkin tidak aku ketahui atau yang tertinggal samada oleh aku sendiri atau ditinggalkan oleh penulis-penulis sebelumku. Hal ini pernah terjadi kepada Imam Malik, di mana anak muridnya bernama Imam Syafie (Pengasas Mazhab Syafie) yang telah menghafal karya ulung beliau bertajuk Al-Muwatha` telah menulis buku lain untuk memberi hujah penentangan Al-Muwatha` dari sudut yang berbeza dengan tujuan untuk memperkemaskan lagi karya Imam Malik itu. Apa yang penting, tidak semesti penulis adalah lebih mengerti atau lebih baik daripada pembaca atau sebaliknya, tetapi jika bergabung tenaga dan ilmu pengetahuan, isya`allah akan membuahkan hasil yang terbaik.

Soalan yang sering ditimbulkan kepadaku apabila berhasrat untuk menulis buku ini berupa pertanyaan yang hampir sama dilemparkan daripada pelbagai pihak, antaranya seperti berikut:-

a.                  Kenapa kamu (iaitu "aku") yang menulis buku ini?

b.                  Bukankah tajuk kamu ini merupakan tajuk yang amat sensitif dan merupakan isu global yang masih belum mendapat jalan penyelesaiannya?

c.                   Apakah ulamak sudah ketandusan ilmu atau apa sebenarnya hasrat kamu ?

Penjelasanku:-

Kenapa "aku" yang menulis buku ini?

Soalan ini timbul kerana ramai yang mengenali diriku sebelum ini bahawa aku juga adalah seorang penulis tetapi hanya berkaitan dengan tajuk-tajuk teknikal komputer yang tidak ada sangkut paut dengan agama. Perasaan was-was mereka ini memanglah tidak dinafikan tetapi hakikatnya perkara yang berkaitan dengan ilmu keduniaan itu aku ambil sekadar fardhu kifayah sahaja dan tidak akan aku bebankan diri aku untuk mempelajarinya sehingga tinggi melanggit. Aku hanya ambil sekadar yang perlu. Berkaitan dengan penulisan ini, ini merupakan perkara pokok yang wajib dipelajari dan hakikatnya fardhu ain ke atas setiap ummat beragama Islam. Perkara agama bukanlah perkara kedua atau sampingan dan bukan digunakan untuk meraih pangkat atau ditukar dengan habuan dunia. Oleh itu, setiap individu wajib memberi perhatian khusus perkara agama dalam segala sudut sebagai keutamaan, manakala perkara dunia ambillah sekadar yang perlu sahaja kerana semuanya akan hancur lebur dan tidak berharga. Jika perkara dunia yang dikejar itu ditakdirkan menjadi milik kita, halalnya akan dihisab dan haramnya akan di azab yang kedua-duanya tidak mampu ditanggong! Oleh kerana pendekatan yang akan aku bawa dalam penulisanku ini agak berbeza dan tidak banyak dihidangkan pada pembaca atau mungkin "tidak pernah" ditulis secara terbuka menjadi sebab utama kenapa aku berminat untuk menulis buku ini. Insya`allah aku akan cuba memberikan penjelasan terbaik yang mungkin boleh menjadi pengajaran dan memberi kesan mendalam pada pembaca. Oleh kerana kebanyakan buku yang berada dipasaran hampir semuanya ditulis dan dibahaskan oleh mereka yang bukannya pengamal poligami dan yang mengutuk poligami, maka tidak hairanlah pembaca sekalian tidak memperolehi sesuatu pun apa yang sebenarnya dicari, tidak ada jalan penyelesaian, tiada ilmu yang boleh dimanafaatkan untuk dikongsikan bersama, malah banyak perkara diselewengkan. Ini seolah-olah pembaca hanya mendengar sesuatu daripada orang yang bisu.

Telah ramai pula cerdik pandai, ahli-ahli tafsir, ulamak-ulamak terkemuka membicara isu ini melalui pelbagai pendekatan dengan mengeluarkan pelbagai ulasan, pendapat, ijtihad serta fatwa untuk menangani isu ini. Yang menghairankan, kebanyakan memandang  isu ini sesuatu yang sangat menyusahkan, menggerunkan, membebankan, mengelirukan dan sebagainya. Secara umumnya, isu ini dipandang negatif TANPA memberi maklumbalas bagaimana perkara ini boleh menjadi positif dan menjadi amalan tradisi dalam sesebuah keluarga.

Persoalannya, mengapa mereka (cerdikiawan dan ulamak) ini memberi ulasan begini adalah disebabkan berikut:-

  1. Mereka sendiri tidak pernah mengharungi hidup berpoligami dan lebih bersifat berhati-hati. Mereka agak khuatir jika ulasan yang mereka berikan menjadikan pegangan sesetengah pihak secara taksub. Mungkin ulasan mereka dijadikan bahan hujah yang digunakan oleh penentang poligami.
  2. Ada juga dikalangan mereka berfikiran negatif. Kecemerlangan dan kekuatan akal yang dikurniakan dikerah supaya sentiasa mencari "bukti-bukti" untuk menentang  poligami. Mereka terpengaruh dengan persekitaran masyarakat yang hampir 100% semuanya menentang poligami atau lelaki yang "takut bini". Sebab itulah ramai orang yang nampakya seperti cemerlang dan terbilang, hakikatnya gagal (kecundang) dalam mengharung hidup berkeluarga walaupun hanya sekadar monogami.
  3. Kononnya ingin membela kaum wanita yang disangkakan lemah. Mereka selalu menganggap wanita adalah kumpulan kelas ke dua. Terhijab hati mereka untuk mengenal akan kehebatan dan keistemewaan kaum wanita yang sebenar.

Disebabkan beberapa perkara inilah menjadi punca utama mengapa sehingga kini kita tidak pernah dihidangkan satu pun bahan ilmiah yang mudah difahami yang boleh dijadikan rujukan untuk mengamalkan poligami. Kebanyakan pengamal poligami diserang dengan hukum-hakam dengan amaran mendapat siksaan pedih jika tidak adil, tidak mampu dan sebagainya. Tidak cukup lagi diserang pula pada kaum wanita yang bermadu, dicucuk dengan pelbagai kejian, tomahan dan dicop sebagai  perempuan bodoh dan sebagainya. Masalahnya di sini masih belum terdapat (ramai) penulis yang berani menulis secara terbuka,  dan memberi tunjuk ajar bagaimana hendak adil, apa maksud adil, bagaimana dan kenapa dan sebagainya supaya kehidupan berpoligami atau bermadu dapat dilaksanakan dengan aman dan damai. Jika ada, maka bolehlah dijadikan panduan dan amalan kepada masyarakat keseluruhannya terutamanya untuk penguasa-penguasa atau pemimpin agama untuk dijadikan panduan. Kebanyakan penulis juga adalah penentang poligami tidak akan ditakdirkan oleh Allah swt menikmati hidup poligami walau sesaat. Sebab itu mereka menentang poligami dengan menggunakan pelbagai alasan peribadi dengan mengambil nas-nas dan dalil-dalil yang sesuai dengan peribadi (nafsu) sahaja, sekadar untuk mereka-reka rintangan dan mencipta beban-beban. Sebenarnya mereka ini adalah golongan yang sangat cemburu, iri hati dan  dengki sehingga terhijab hati mereka dari memahami apakah keistemewaan yang tersurat dan tersirat dalam kehidupan poligami.  Hakikatnya, Poligami Anugerah Tuhan !

Kesimpulannya, orang yang tidak mengamal poligami janganlah mudah melatah dan berani membicarakan atau mempertikaikan pengamal poligami. Adalah agak janggal kerana mereka (pengamal monogami) membicara sesuatu yang mereka tidak tahu dan tidak pernah alami atau mungkin tidak diberi peluang oleh Allah swt untuk menikmatinya walau sesaat. Macam mana kamu boleh ceritakan tentang cantik atau buruknya bulan sedangkan tidak pernah menjejakkan kaki naik ke bulan. Ini tidak lain hanyalah satu dusta sahaja.

Harapanku kepada pengamal-pengamal poligami,  sumbangkan ide dan khidmat nasihat untuk meleraikan kekusutan ini. Jangan biarkan orang-orang yang tidak arif membicara perkara ini dan terus menyimpitkan fikiran masyarakat. Sama-samalah kita memberi tunjuk ajar. Jangan khuatir untuk memberi sebarang pandangan dan tunjuk ajar atas perkara murni ini. Anda tidak perlu menjadi seorang genius untuk menyampai perkara baik ini. Tidak perlu menjadi ulamak besar, tidak perlu keluaran dari universiti-universiti pengajian agama terkemuka dari dalam atau luar negeri (kalau pengajianmu itu sekadar untuk ditukar dengan habuan dunia). Tidak perlu menjadi pemimpin-pemimpin agama atau pembesar-pembesar negara, tidak perlu menjadi Ustaz maupun Ustazah untuk menyampai berita murni ini. Jadilah diri anda sendiri. Agama dipelajari untuk diamalkan, bukan untuk ditukar dengan habuan dunia atau untuk bermujadalah dengan orang-orang yang lemah pengetahuannya, jikalah demikian tunggu sahajalah keputusan Allah swt ke mana akhirnya kamu. Oleh itu pelajarilah Al-Quran dan Hadis Rasulullah saw adalah untuk diamalkan, itu yang dituntut oleh syarak. Biar sedikit asalkan istiqamah.

Orang yang terhebat, termasyur dan berada di tempat nombor satu di dunia (diiktiraf oleh semua masyarakat di dunia walaupun berlainan agama, bangsa, negara dan budaya), hebat dalam segala bidang dari dulu hingga sekarang adalah pengamal poligami !, Rasulullah saw.

Poligami adalah ANUGERAH. Poligami bukanlah sekadar sunnah, tetapi ianya adalah satu "Ketetapan Mutlak" (SUNATULLAH) ditentukan oleh Allah s.w.t kepada hambaNya yang dipilih.

Yang paling janggal lagi, ada juga hamba Allah swt yang tidak pernah langsung mendirikan rumahtangga turut berminat membicara soal poligami dalam penulisan dan ucapan mereka. Ini tidak lain hanyalah dusta dan bakal menambahkan kekeliruan pada masyarakat yang dahagakan kebenaran. Semuga Allah swt memberikan petunjuk dan hidayah pada mereka semua.

Bukankah tajuk kamu ini merupakan tajuk yang amat sensitif dan merupakan isu global yang masih belum mendapat jalan penyelesaiannya?

Jika dikatakan tajuk ini adalah sensitif, ianya hanyalah sekadar pandangan dan pendapat biasa sahaja. Kalau sensitif sudah pasti isu ini tenggelam begitu sahaja, tetapi isu ini dibicara hampir setiap saat, setiap golongan, setiap lelaki dan perempuan di setiap sudut di pelusuk dunia. Isu ini masih kekal dibual kerana belum ada satu formula penyelesaian untuk menjadikan isu ini sebagai amalan biasa sebagaimana yang telah diamalkan semenjak zaman datuk nenek moyang kita dahulu dan di amalkan di zaman Rasulullah saw, sahabat-sahabat baginda dan seterusnya  beribu tahun yang lampau. Oleh itu bacalah buku ini dalam suasana tenang, insya`allah perkara ini  bukanlah isu sensitif lagi. Kalau ada di antara tulisanku ini tidak difahami, tanyalah guru-guru yang arif. Bertanyalah hanya dan hanya  pada guru-guru yang berpengalaman dalam kehidupan poligami supaya anda tidak akan sesat jalan kerana yang lainnya hanyalah palsu.

Apakah ulamak sudah ketandusan ilmu atau apa sebenarnya hasrat kamu ?

Pada pendapatku, soalan inilah yang sensitif, bukanlah tajuk buku ini! Sebenarnya, sudah terlalu banyak buku diterbitkan dan ditulis oleh ulamak dari dahulu hingga sekarang. Buku yang disusun ini hanyalah sebagai satu sumbangan kecil jika dibandingkan dengan penulisan mereka. Malah, jika selepas ini diterbitkan lagi berjuta-juta buku berkaitan dengan isu ini, tetap tidak akan habis-habis ilmu ini dibicarakan. Ini bermakna , ulamak bukanlah  ketandusan ilmu. Tidak ada sesiapa yangmampu membicara soal ini secarakeseluruhan. Mungkin juga gaya penulisan yang berbeza kerana ulamak juga berbeza, ada Ulamak benar (akhirat) dan ada Ulamak jahat (su`i).  Ulamak yang benar akan menyampaikan perkara yang sebenar berkaitan bertepatan dengan syarak, manakala ulamak jahat pula akan senentiasa memutarbelitkan fakta. Terpulang pada pembaca untuk menilaikannya. Hakikatnya, ulamak yang benar lagi zuhud adalah ibarat suatu barang yang telah hilang di atas muka bumi ini.

Para pembaca yang budiman, jika anda masih sudi meneruskan membaca setelah membaca mukaddimahku ini, aku ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan anda.  Aku panjatkan kesyukuran kepada hadrat Illahi di atas kehendakNya ini kerana semuanya tidak terlepas  dari pengetahuan dan urusanNya. Apa yang aku ingin pesankan pada para pembaca adalah, tulisanku ini merupakan integrasi (gabungan)  beberapa cabang ilmu iaitu Fiqih, Tauhid dan Tasauf serta sirrah Rasulullah saw. Jika tidak biasa mendengar atau kurang faham dalam beberapa tulisanku ini terutama dalam soal kerohanian yang meliputi ilmu Tasauf dan Tauhid, maka carilah hanya guru kerohanian untuk membantu anda mentafsirkannya. Syaitan laknatullah berkata:

"Barangsiapa yang tidak mempunyai guru (kerohanian) maka akulah yang menjadi guru mereka."

Setinggi-tinggi penghargaan  inginku ucapkan kepada semua guru-guruku samada yang masih hidup atau yang telah kembali ke rahmatullah, kepada isteri-isteri dan anak-anakku yang sentiasa memberi dorongan dan menjadi sumber inspirasiku, sahabat-sahabat handaiku samada kawan dan lawan dan setiap mereka yang pernah memberi komen, pandangan, terguran dan juga harapan untuk menjayakan penulisan aku ini. Aku hanya mengharapkan dari kurniaan Allah swt sahaja untuk membalas jasa-jasa mereka di akhirat nanti iaitu di negeri yang kekal yang tidak ada kesudahannya dengan kehendak Allah swt.

Untuk melengkapkan penulisanku ini, disajikan kes-kes studi yang terdiri beberapa cerita teladan iaitu kisah benar berdasarkan pengalaman-pengalamanku sendiri atau pengalaman rakan-rakan, sahabat handai lelaki maupun perempuan.  Sebagai insan biasa yang tidak terlepas dari kejahilan dan kelemahan, aku memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat beberapa kelemahan dan kekurangan dalam penulisan aku ini. Oleh itu aku memohon agar pembaca yang terperasan mana-mana kesilapan, hendaklah kiranya sudi membetulkannya semuga pembaca lain memperolehi ilmu pengetahuan yang menetapi syarak. Segala kerjasama dan sokongan yang telah dan akan diberikan, aku dengan rasa syukur dan rendah diri ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada anda semua. Aku berdoa kehadrat Allah swt semoga  sentiasa merahmati kita semua, ditetapkan dan dikembalikan semula padaNya dalam keadaan kekal berada di dalam Iqtikad yang tepat (Khusnul Khatimah), Syariat yang sohih dan Ubudiyyah yang sempurna. Amin, Amin, Amin ya rabbal a`lamin..

" Poligami ANUGERAH  Tuhan ". 

Penulis

Md.Lutfi Bin Yusof