.... dari bahagian terdahulu ....

Sesungguhnya, tidak ada yang terawal sekali dicipta oleh Allah swt melainkan “Nur Muhammad”. Allah swt yang berdiri dengan zatNya tersendiri tanpa awalan dan akhir, mula-mula mencipta “Nur Muhammad” sebagai memuliakan baginda yang juga KekasihNya, yang bakal membawa syariat terakhir berbekalkan dengan pelbagai mukjizat untuk memancarkan cahaya kebenaran ke seluruh dunia umatnya. Di antaranya muzjizat yang teragong adalah Kitab Suci Al-Quran. Kitab Suci ini masih boleh dibaca, diamalkan oleh sekalian umatnya sehingga sekarang.  

Daripada Nur Muhammad inilah tercipta segala-segalanya yang ada sekarang samada dalam bentuk yang nyata maupun yang ghaib. Kesemua ciptaan dan kejadian-kejadian ini telah ditulis dan disimpan dalam Kitab Induk di Lauh Al-Mahfuz. Ini menunjukkan bahawa apa sahaja yang berlaku sejak mula-mula dicipta sehingga sampai hari kiamat telah ditetapkan dan di dalam pengetahuan Allah swt. Firman Allah swt:-

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu” ( S.Al-Anfal:75)

Tiada suatu bencana pun yang menimpa bumi, dan tidak (pula) pada dirimu sendiri, melainkan telah tertulis di dalam kitab (Lauh al-Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu amat mudah bagi Allah” (S.Al-Hadid:22)

Tiada suatu pun yang ghaib di langit dan di bumi melainkan telah tercatat pada kitab yang nyata” (S.Al-Naml:75).

Dan segala sesuatunya telah Kami catat dalam Kitab Induk (Lauh Al-Mahfuz) yang nyata” (S.Yasin: 12)

Oleh yang demikian, berkenaan dengan rezeki, jodoh, ajal maut dan kesemuanya itu telah tertulis dan ditetapkan oleh Allah swt. Ada juga di antara kejadianNya itu dikekalkan seperti Syurga dan Neraka. Untuk mengetahui dengan lebih terperinci perlulah mempelajari ilmu Tauhid secara khusus kerana sesetengah perkara sukar untuk diterjemahkan melalui pena melainkan kena berhadapan dengan guru (kerohanian). Terlalu sedikit ilmu pengetahuan tentang kejadian ciptaan Allah swt dikurniakan pada hambaNya. Perkara yang nyata (zahir), yang boleh dilihat dan dirasa melalui pancaindera, masih sukar bagi manusia untuk menerokai hakikat kejadiannya inikan pula perkara-perkara yang ghaib, suatu perkara diluar kemampuan fikiran akal manusia. Jika kita mengimbas kembali sejarah Rasulullah saw dalam peristiwa Isra’ Mi`raj yang sangat menakjubkan, perjalanan Rasulullah saw yang diberkati itu hanya mengambil masa singkat sahaja untuk naik ke langit (Sidratul Muntaha) dan turun semula ke bumi yang jarak perlajanannya sejauh 10,000 tahun perjalanan. Di antara satu tingkat langit ke tingkat yang lain baginda saw sempat pula bersembahyang dengan nabi-nabi terdahulu dan juga para malaikat. Baginda saw melihat peristiwa-peristiwa perumpamaan berlaku pada manusia yang ditimpa bencana atau menerima rahmat Tuhan dan sebagainya. Malah, di antara langit ke tujuh dan ke enam yang sejauh 500 tahun perjalanan, Rasulullah saw berulang-alik sebanyak sembilan kali untuk memohon kehadrat Allah swt supaya mengurangi solat fardhu umatnya.  Allah swt telah mengizinkan dikurangkan sehingga lima (5) waktu sahaja dalam dalam sehari. Benarlah kata Nabi Allah Musa a.s: “Umat kamu adalah kerdil, solat fardhu lima waktu itupun belum tentu mereka mampu mengerjakannya”. Nabi Allah Musa a.s menyuruh Rasulullah saw memohon supaya dikurangkan lagi tetapi Rasululah saw  sudah  tidak sanggup lagi kerana terasa sangat malu. Masa yang diambil oleh Rasulullah saw untuk misi ini hanyalah di antara Isya` dan Subuh. Kepantasan ini TIDAK akan mampu diatasi oleh apa jua bentuk teknologi moden masa kini ini. Peristiwa ini diyakini oleh seluruh manusia samada orang Islam maupun orang kafir. Ketika berlakunya peristiwa ini, ada di antara mereka semakin teguh imannya dan ada juga yang terus menjadi murtad (kerana mereka menyangka ini adalah perkara sihir). Hanyalah hamba yang terpilih sahaja dikurniakan ilmu untuk mengenal dan memahami  segala kejadian dan perintah Allah swt ini. Ilmu ini tidak bisa diperolehi melainkan hamba yang benar-bernar beriman atas kurnia dengan rahmat Allah swt jua. Hanya Allah swt penentu segala sesuatu. HambaNya tidak mempunyai sebarang pilihan, hanya perlu akur dan taat. Merujuk kepada peristiwa ini, alangkah kerdilnya manusia untuk menerokai ilmu-ilmu Allah swt yang nyata maupun yang ghaib. Inilah di antara kehebatan, kemuliaan, kebesaran yang dikurniakan Allah swt pada Muhammad saw yang tidak mungkin dicapai oleh sesiapapun.  Kita teliti firman Allah swt di bawah:

Sekiranya Kami turunkan (Al-Quran) ini ke atas bukit, engkau akan melihat bukit itu tunduk terpecah belah kerana takutkan Allah .” (S. Al-Hasyr: 21).

Dengan kekuatan rohani dan jasmani Rasulullah saw, baginda mampu memikul untuk menerima wahyu atas dirinya sedangkan bukit akan hancur kerana tidak mampu menanggungnya. Ini membuktikan beliau bukanlah manusia biasa. Rasulullah saw adalah manusia sangat luar biasa. 

Oleh itu beriman pada Rasulullah saw dan mempercayai apa sahaja yang dibawanya adalah satu tuntutan syarak yang wajib tanpa berbelah bahagi. Apa sahaja yang terjadi pada Rasulullah saw samada diamnya, duduknya, perbuatannya dan perkataannya semuanya adalah sunnah yang perlu ditaat kecuali yang benar-benar jelas diharamkan  oleh Allah swt dalam Al-Quran atau melalui lidah Rasulullah saw yang mulia itu berupa hadis-hadis.

 Firman Allah swt:

Dan barangsiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikut jalan selainnya jalan orang-orang beriman, Kami akan palingkan dia ke mana dia berpaling2 dan Kami masukkan ia ke dalam neraka Jahannam, dan Jahannam ini adalah seburuk-buruk tempat kembali .” (S:An-Nisa`: 115).

Manusia yang mula-mula dicipta oleh Allah swt daripada tanah dan air adalah Nabi Allah Adam a.s. Seterusnya, melalui rusuk bahagian kiri sebelah atas Adam, dicipta pula Hawa sebagai pasangan hidup. Untuk disahkan pernikahan pasangan Adam dan Hawa, Adam perlulah membayar mas kahwin atau dikenali sebagai mahar. Mahar Adam kepada Hawa disyaratkan oleh Allah swt adalah dengan mengucapkan Selawat dan Salam kepada Nabi Besar Muhammad, Rasulullah SAW sebanyak sepuluh (10) kali. 

Diriwayatkan Rasul s.a.w bersabda: -

Ketika saya diangkat menjadi Nabi, Nabi Adam masih tanah terbaring. ” Riwayat Irbadh bin Sariah As-Suhaimi r.a)

Diriwayat daripada Sayyidina Abi Hurrairah beliau berkata:

Orang-orang bertanya pada Rasulullah, `ya Rasulullah! Bilakah tuan diangkat menjadi Nabi?” Baginda menjawab: “ pada waktu Nabi Adam antara roh dan jasad (Riwayat Imam Tirmizi)

Baginda juga bersama Nuh, ketika beliau menyelamatkan diri ke atas bahtera yang  menempuh bah besar. Dan baginda bersama Ibrahim ketika dilemparkan ke dalam api pembakaran Raja Namrudz.

Ini menunjukkan bahawa zat (cahaya nur) Rasulullah s.a.w ujud dengan cukup lengkap dan sempurna sebelum umat Adam di lahirkan ke dunia.

Diriwayatkan juga bahawasanya Nabi Adam a.s pernah mendengar tasbih dari Nur (cahaya) Rasulullah s.a.w di tulang punggungnya seperti bunyi burung mengibas-ngibas sayapnya. Apabila Siti Hawa mengandungkan puteranya Syits, Nur itu berpindah kepada Siti Hawa, kemudian kepada Syits pula. Nur itu seterusnya berpindah-pindah dari satu sulbi yang suci kepada sulbi yang lain, dan dari rahim yang bersih kepada rahim yang lain, sehinggalah Rasulullah s.a.w dilahirkan dari antara kedua ibubapanya (Sayyidina Abdullah dan Saidatina  Aminah) yang mulia itu, tiada disentuh sesuatupun dari sifat-sifat Jahiliyah yang cemar dan keji.

.... sambungan boleh dibaca dalam buku ini.